"Wahai Nabi, (Muhammad), katakanlah kepada isteri-isterimu, dan anak-anak perempuan kamu dan kepada seluruh kaum muslimin, supaya mereka melabuhkan tudung mereka hingga menutupi dadanya, demikian itu lebih mudah untuk mereka di kenali, dan tidak akan diganggu (oleh pemuda yang suka menggangu)" Surah AnNur Ayat 31.

Tuan-tuan sekalian, kita sekarang berada di penghujung tahun 2009. Guru Kaunseling dan Ustaz Ustazah sekolah rendah patut teliti tulisan saya ini. Ketika anak-anak kita menginjak ke sekolah menengah, mereka sudah kehilangan orang seperti anda, yang boleh menegur dan memberikan bimbingan. Guru sekolah menengah adalah orang lain. Belum tentu sama dengan kita. Kalau lebih bagus, syukurlah, tetapi kalau sebaliknya?

Ketika mereka sudah pun berada di alam sekolah menengah, waktu pulang dari sekolah, petang-petang kita terlihat dan melihat, ramainya antara mereka yang tidak memahami dan tidak mengerti hukum wajib memakai tudung kepala. Saat itu kita hanya memandang dan berkata di dalam hati, kenapalah budak ini tidak disuruh ibu nya memakai tudung, walhal dia ke pasar malam, ke kedai dan ke mana bersama ibunya, sedang ibunya memakai tudung. Kenapa ini terjadi?

Didikan Dari Orang Tua

Ya, yang pertama didikan dari orang tua sendiri, Syabas yang memakaikan tudung pada anak perempuan seusia 2 tahun. Orang tua seperti ini, adalah orang yang tahu hukum-hakam. Namun bagaimana pula keadaannya jika orang tua mereka jahil?

Peranan guru di sekolah

Nah, sekarang peluang guru-guru yang berada di sekolah memindahkan ilmu hukum ini kepada anak-anak didik mereka. Katakan kepada mereka bahwa melepaskan rambut (tidak bertudung bagi yang dah cukup umur) adalah berdosa. Di akhirat tuhan akan menggantungkan buah dada mereka didalam neraka dengan besi seperti mata kail yang dibuat dari api neraka. Apakah kamu sanggup menghadapi siksaan sebegini dahsyat ? Biarlah mak kamu tidak bertudung, tetapi kamu belajarlah perlahan-lahan untuk mempraktikkan ajaran Islam ini. Ajaran ini menyelamatkan kamu di dunia (gangguan) dan akhirat (siksa).

Ambilah peluang ini semasa perhimpunan pagi dan waktu relief di dalam kelas. Kelak setiap patah ucapan anda, akan menjadi pahala buat anda di dalam kubur. Bukankah tuhan menyatakan melalui lidah NabiNya, 3 perkara yang berguna bagi manusia setelah dia meninggal dunia, "Ilmu yang dimanfaatkan oleh orang lain". Mengajar sepatah ayat tentang kewajipan bertudung adalah salah satu saham abadi buat kita. Takkan dalam ratusan pelajar itu, tidak ada seorang pun yang mahu turut pengajaran kita ini?

www.noorhisham.com

Posted by Noorhisham Saturday, September 26, 2009 6 comments



Salam pembuka bicara.

Hmm.. ini pertama kali rasasayang79 mencoret sesuatu di dalam blog ini. Bukan tak mahu menyumbang karya tapi agak terkejut dan terharu atas penghormatan yang diberi.

Rasasayang79 bukanlah seorang yang terlalu hebat sehingga diberi penghormatan sedemikian rupa oleh pemilik blog kerana diri ini merupakan seorang guru cacat penglihatan yang tiada apa-apa istimewanya. Rasa malu pulak nak meneruskan bicara.

Tapi demi amanah yang diberi insyaAllah saya akan cuba sesuatu untuk para pembaca di luar sana.

Secara ringkasnya, saya seorang guru cacat penglihatan dan mengajar di salah sebuah sekolah di daerah Bera. Untuk mengenali lebih lanjut diri penulis, bolehlah singgah di blog yang tak seberapa adanya.



Di kesempatan yang terhad ini juga saya ingin mewakili semua penulis blog menyusun sepuluh jari seandainya ada salah dan silap yang sengaja mahupun tidak kepada semua sahabat handai dan para pembaca.

Dengan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin.

Macam mana dengan Hari Raya anda. Mungkin banyak kenangan dan peristiwa yang mengusik jiwa. Bolehlah dikongsikan di sini.

OK. Jumpa lagi di lain coretan.. wassalam.

Posted by Anonymous Thursday, September 24, 2009 0 comments

Alhamdulillah ...

Dalam sebulan dua ni banyak kelas-kelas tambahan yang dibuat oleh pihak sekolah khasnya untuk pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan besar iaitu PMR dan SPM. Berbilang hari ada sahaja kelasnya mengikut jadual yang telah disusun.

Semangat guru sudah tentu berkobar-kobar untuk menyampaikan sesuatu yang mungkin tak sempat untuk diaplikasikan secara menyeluruh di waktu pengajaran dan pembelajaran sesi pagi. Justeru inilah peluang terbaik untuk guru menyampaikannya kepada pelajar-pelajar yang mereka kasihi.

Namun kadang-kadang semangat guru agar kendur juga apabila melihat para pelajar kurang minat untuk menghadirkan diri. Maklumlah belajar di waktu petang banyak alasan juga dibuat-buat seperti penat, tak ada kenderaan dan yang kata tak tau ada kelaspun ada. Sedih bukan kepalang, sedangkan diberitahu awal sudah, diedar jadual dan pembahagian kumpulan pun sudah, macamana pelajar masih tidak tau... Hmm pelik2 budak2 zaman sekarang ni.

Ummi tak risau pada segelintir yang memang peka dan perihatin, tahniah Ummi ucapkan kepada pelajar yang memang gigih dari awal tahun. Tapi mereka yang gigih tentulah tidak sampai separuh, mungkin Ummi boleh bagi 15 - 20% sahaja dari mereka. Namun yang selebihnya lagi tu.. hmmm... risau betapa ramainya tidak peka dan perihatin dan mencipta pelbagai alasan untuk menguzurkan diri.

Ada juga di antara mereka yang hadir tetapi lewat, tetapi masih dengan selambanya berlenggang-lenggok menuju ke kelas tanpa sdikitpun rasa malu dan rasa bersalah...

Sangat sedih bila memikirkan kebanyakan pelajar sekarang yang tidak endah dengan persekolahan mereka. Apakah tujuan mereka hadir ke sekolahpun masih kabur dengan tabiat suka merayau dan ponteng itu menjadi kebiasaan.

Jika dilihat kepada tabiat2 yang kurang senang dipandang ini berkemungkinan mereka hadir ke sekolah dengan sebab2 yang berikut ( Ini mungkin hanya dari fikiran Ummi aje ) :

1. Mak ayah yang suruh sedangkan diri tak minat.
2. Malu dengan orang sekeliling kalau tak pegi sekolah.
3. Nak jumpa pakwe kerana pakwepun sekolah lagi.
4. Nak tunjuk lawa dengan bedak dan celak yang tebal.
5. Nak jumpa kawan dan berborak-borak je.
6. Tak minat dengan leteran mak ayah di rumah ( kalau di sekolah kena leter juga tapi bersama kawan)
7. Saja nak cari marah cikgu je kot... Hmm...Cari dosa...Wallahu Aklam

Walau apapun tujuan mereka datang ke sekolah, kami sebagai guru tetap menjalankan tugas sebagai seorang guru iaitu menyampaikan ilmu yang ada khasnya untuk diamal dan dijadikan panduan hidup akan datang. Semoga sedikit usaha dan kesabaran semua guru membuahkan hasil yang baik walaupun tidak dalam masa yang terdekat..... atau mungkin setelah menghembuskan nafas terakhir...

Kata-kata perangsang dari tuan pengetua menjadi pendorong semangat yang sentiasa Ummi ingatkan untuk diri sendiri.... " Sampaikanlah dan didiklah anak pelajar kita dengan baik, jangan kita mengharapkan mereka berubah sekelip mata atau di hadapan kita, mungkin perubahan ke arah baik itu akan berlaku setelah mereka meninggalkan sekolah, semasa dewasa ataupun setelah kita telahpun di usia tua atau meninggal dunia. Yang penting jalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah ini dengan hati yang ikhlas dan jujur... " kerana Sesungguhnya Hidayah Allah itu milik Allah. Dialah yang berhak menentukannya...

Tentu kita pernah mendengar kisah Nabi kita Muhammad SAW tatkala mengeluh sedih di atas ketidakislaman bapa saudaranya Abu Talib... maka turunlah ayat Allah SWT bagi meredakan kesedihan baginda mafhumnya :" Sesungguhnya bukan engkau yang memberi hidayah, Tetapi Allahlah yang memberi hidayah kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki...."


Tahniah kepada semua guru Ummi atas kesabaran mereka mendidik Ummi dulu. Dan Tahniah juga kepada guru2 kini dengan pengorbanan mereka mendidik anak bangsa...

Moga segala usaha dikira oleh Allah sebagai ibadah kepadaNya...

Posted by Ummi Umar Wednesday, August 05, 2009 3 comments

Align Left

Ramai jugak yang mencari buku sebagai sumber rujukan khususnya berkaitan dunia kaunseling. Ketika berjalan di Warta Bangi, saya terserempak dengan buku ini, tanpa fikir panjang, melihat ianya lebih tebal dari buku-buku sebelum ini, terus saya membelinya dengan harga RM39.50.

Posted by Noorhisham Sunday, July 26, 2009 0 comments

BHN

Kecanggihan teknologi hari ini memboleh seorang murid hadir ke sekolah tanpa membawa buku, cukup hanya sebuah komputer riba yang kecil. Namun kini lain pula terjadi di Terengganu. 12 orang murid di Gong Badak telah menyalahgunakan alat bantu belajar tersebut. Dengan alasan perbuatan abang, mereka mohon pelepasan dari tindakan undang-undang.

Posted by Noorhisham Friday, July 24, 2009 0 comments

Setelah membaca artikel Sakit @ Sihat dari blog Ustazmuda, Terfikir juga Ummi betapa kita ingin sentiasa sihat tetapi mungkin kurang arif untuk menghargai nikmat sihat anugerah Allah itu sehingga leka gunanya kesihatan itu untuk pengabdian yang hakiki kepadaNya..

Justeru, kebiasaannya kita ingin sentiasa sihat agar kita boleh bertugas seperti selalunya, kita ingin sihat supaya sentiasa dapat bersiar-siar bersama keluarga, kita sentiasa ingin sihat agar kita boleh sentiasa bersukan di waktu petang, kita sentiasa ingin sihat kerana dengan sihatnya kita maka kita akan berselera dan tak perlu berpantang ketika menikmati makanan yang enak-enak. Sungguh beruntungnya kita kalau kita sihat.....Alhamdulillah..

Ummi teringat dengan tazkirah yang telah diceritakan semula oleh mak di kampung.

Tazkirahnya lebih kurang begini : " Cuba bayangkan kalau kita tiba-tiba sakit, tak kiralah sakit apa, demam ke, pening ke, sakit gigi ke, sakit lutut ke, tak sihat je dengan serta merta sahaja kita ingin ke klinik berjumpa doktor bagi meredakan kesakitan yang kita alami.... Betapa kita ingin sihat semula.... tapi untuk apa ye..... hehe. Tentulah untuk tujuan-tujuan di atas yang Ummi dah kupas di atas tadi....

Tetapi Cuba persoalkan pada diri kita sendiri, Sama tak reaksi kita jika dipanggil untuk menunaikan solat ??? Adakah kita terus cepat-cepat bergegas untuk solat dan bertemu Allah SWT setelah dipanggil apabila telah masuk waktunya? Apakah kita merasa takut sebagaimana kita takut apabila ditimpa kesakitan ?? Apakah kita merasa sangat gentar bimbang-bimbang tidak smpat untuk menunaikan kewajipan iti ketika nyawa mungkin sedang ditarik atau sedang diperhatikan oleh Malaikat Izrail ??? Apakah kita mungkin terfikir akan jatuh sakit sebelum sempat menunaikan solat yang mungkin akan membataskan pergerakan kita ???... Hmm...tentu tidak kan ? Kalaupun kita sudah berusaha untuk menunaikan solat di dalam waktunya namun kita masih leka menunda-nundanya..... alah lambat lagi.... banyak lagi waktunya ... boleh rehat sikit lagi..... tidur dululah sempatnya....

Astaghfirullahal Azim... Betapa kita terlalu alpa dengan nikmat sihat yang dikurniakan oleh Allah....sehingga leka pada yang lebih utama....sebagai hambaNya... Nikmat sihat gunakanlah untuk pengabdian yang tulus sebelum datangnya sakit...

Bersyukurkah kita ...???

Posted by Ummi Umar Tuesday, June 16, 2009 1 comments

Wednesday, May 6, 2009

ANUGERAH Industri Muzik (AIM) kali ke-16 baru sahaja melabuhkan sauhnya. Artis-artis yang ditabalkan sebagai pemenang dalam kategori masing-masing pulang dengan hadiah-hadiah lumayan yang ditawarkan oleh pihak penganjur. Pengiktirafan demi pengiktirafan dihamparkan kepada golongan artis atas jasa menghiburkan pelbagai lapisan masyarakat tidak kira tua mahu pun muda.

Malah artis seperti Datuk Siti Nurhaliza, penyanyi nombor satu negara telah meraih sebanyak lebih daripada 150 anugerah seni dalam dan luar negara hasil daripada nyanyiannya yang berjaya menghibur para pendengar.

Terbaru, Tomok pula dianugerahkan dengan ganjaran RM1 juta kerana memenangi pertandingan One In A Million.

Meet Uncle Hussain juga tidak kurang hebatnya apabila telah mengungguli tiga anugerah hiburan berprestij tahun ini iaitu Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-23, Anugerah Bintang Popular dan AIM ke-16.

Di sudut yang lain, doktor yang bergadai nyawa siang dan malam menyelamatkan nyawa ribuan manusia jarang diberi penghormatan sebesar itu, malah sering dipersalahkan atas kelemahan dan kecuaian yang berlaku.

Mungkin tidak ramai yang prihatin apabila para doktor dan jururawat sentiasa berada di barisan hadapan setiap kali negara dilanda wabak penyakit yang merungsingkan semua.

Lihat sahaja ketika ini, di saat seluruh dunia bimbang akan penyebaran virus influenza A (H1N1), para doktor berkorban nyawa, menanggung risiko kemungkinan dijangkiti wabak itu, apabila mereka dipertanggungjawabkan dengan tugas memeriksa setiap pelawat yang tiba di pintu masuk utama negara.

Mereka dikerah bertugas siang dan malam semata-mata bagi mengawal penyebaran wabak ini kepada rakyat Malaysia.

Perkara serupa juga berlaku ketika negara diserang virus JE dan virus Nipah. Para doktor dan jururawat jugalah yang bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia, sehingga ada di kalangan mereka yang turut dijangkiti virus itu.

Selayaknya para doktor dan jururawat diberi penghormatan yang sebesar-besarnya atas jasa bakti menyelamatkan seluruh warga negara Malaysia tanpa mengira kaum dan ikutan agama daripada dijangkiti penyakit berbahaya ini.

Kecuaian yang mungkin dilakukan oleh sesetengah pengamal perubatan tidak wajar dijadikan alasan untuk memperlekehkan mereka, sehingga seolah-olah segala jasa bakti kepada negara dilupakan begitu sahaja.

Sebagai manusia biasa yang tidak maksum, semua perlu sedar bahawa kekurangan dan kealpaan merupakan sifat semula jadi manusia. Malah yang afdal, segala kelemahan dan kecuaian yang berlaku diganti dengan usaha-usaha penambah baikkan untuk manfaat bersama.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: ''Semua anak Adam melakukan kesalahan dan sebaik-baik yang melakukan kesalahan adalah orang yang bertaubat, berhenti daripada melakukan kesalahan itu.''

Golongan guru juga sering menerima nasib yang sama. Setiap kali pelajar dihukum kerana kenakalan anak-anak, mereka dihujani dengan pelbagai tohmahan dan kata-kata nista. Masyarakat kelihatan alpa dengan cabaran dunia pendidikan masa kini yang jauh berbeza daripada zaman lalu.

Sering kali dilaporkan berita murid membelasah guru dan tidak kurang juga terdapat laporan-laporan yang melibatkan salah laku guru. Semua ini berlaku kerana faktor persekitaran yang turut menyumbang kepada masalah yang berlaku.

Oleh itu, ungkapan guru umpama lilin, membakar diri untuk kebahagiaan orang lain selayaknya dihayati dengan rasa tanggungjawab bersama. Ini kerana tugas memberi pendidikan tidak hanya terbatas kepada guru di sekolah sepenuhnya.

Ibu bapa juga wajar memainkan peranan sebagai pendidik kepada anak ketika mereka di rumah. Malah jika diteliti, mereka lebih lama berada di rumah berbanding di sekolah yang hanya memakan masa lebih kurang tujuh hingga lapan jam sahaja sehari.

Ibu bapa juga disaran menjadi contoh teladan terbaik kepada anak-anak dengan sentiasa melakukan ketaatan dan kebajikan.

Amalan solat berjemaah bersama seluruh ahli keluarga selain dapat merapatkan hubungan dengan Allah SWT juga mampu menjadi mekanisme terbaik kepada pendidikan anak-anak.

Tulisan ini tidak bermaksud untuk menyatakan isu betul dan salah, sebaliknya marilah kita seluruh warga negara atas prinsip One Malaysia, bersama berganding bahu memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan yang berlaku.

Amalan menuding jari menyalahkan orang lain tidak akan memberi apa-apa kebaikan untuk kejayaan bersama. Adalah lebih manis jika cadangan-cadangan penambahbaikkan disalurkan kepada pihak-pihak tertentu agar perkara serupa tidak berulang kembali.

MOHD. ALI MUHAMAD DON

Pensyarah Pusat Pemikiran

dan Kefahaman Islam

UiTM Kampus Bandaraya,

Johor Bahru

Sumber : Cikgu Malaysia

Posted by Ummi Umar Friday, May 08, 2009 2 comments

Satu lagi tugas guru... Kadang-kadang terfikir juga betapa banyak kerja seorang guru... Guru bukanlah hanya berperanan mendidik dan mengajar murid-murid di dalam kelas, bahkan lebih dari itu... Justeru untuk mendidik murid tentang betapa pentingnya kebersihan, mahu tidak mahu guru juga harus 'turun padang' dalam merealisasikan apa-apa aje yang mampu mendidik para muridnya tentang kebersihan kerana " Kebersihan itu adalah separuh dari Iman " al-Hadis

Al-hamdulillah kami guru2 berjaya juga mengumpulkan beberapa orang pelajar untuk bersama-sama merealisasikan Kempen Jiwa Murni....



Mula mengecat setelah siap membersih...




Seorang guru turut mewarna logo puteri Islam...





Al-Hamdulillah.... Dah cantik....

Posted by Ummi Umar Monday, April 27, 2009 3 comments



Persembahan Johan Nasyid Sekolah Rendah





Tahniah kepada Adik Firdaus Nordin (Tingkatan 5A) yang telah berjaya mendapat tempat ketiga dalam Pertandingan Hafazan al-Quran...( Berbaju Melayu Cokelat )


Alhamdulillah, walaupun pencapaian agak tidak membanggakan namun ummi bersyukur dan mengucapkan ribuan terima kasih atas segala penat lelah mereka dan berharap agar anak-anak didik ummi sentiasa bersemangat untuk berusaha lebih gigih untuk setiap pertandingan akan datang...

Posted by Ummi Umar Friday, April 17, 2009 0 comments





KUMPULAN MARHABAN SEKOLAH UMMI... ( maaf kurang jelas... )


Sebagai membuktikan kecintaan kita pada Nabi Muhammad, kita perlu mengorak langkah berikut:

• Sedarilah as-sunnah adalah peninggalan berharga kepada umat Islam. Mengamalkan sunnah Rasulullah sebagai tanda kita mengasihi baginda. Sabda Rasulullah: “Barangsiapa taat kepadaku (mengamalkan ajaran Islam yang terkandung di dalam as-sunnah), maka ia sesungguhnya taat kepada Allah. Firman Allah: “Katakanlah wahai Muhammad (kepada umatmu) seandainya kamu mencintai Allah (sebagai buktinya) ikutilah (sunnah) aku.” (ayat 31 : surah al-Baqarah ).

• Memperbanyakkan ucapan salam sejahtera pada Rasulullah, iaitu selawat. Baginda amat kasih pada mereka yang banyak berselawat kepada baginda.Sabda Rasulullah: “Barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, nescaya Allah akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.”

• Janganlah memperkecil-kecil, menghina dan menpertikai Rasulullah, keluarganya dan sahabatnya. Perbuatan itu boleh membatalkan iman.Justeru, menjadi tanggungjawab kita untuk sensitif, prihatin dan membela kekasih Allah sebagai bukti kecintaan kita kepadanya.Dengan tiga inisiatif yang disebutkan tadi, dapatlah kita amalkan supaya dipermudahkan kita masuk syurga bersampingan dengan Rasulullah yang mulia.

Ulama menyatakan, nikmat dan ganjaran paling berharga di syurga ialah dapat melihat Allah. Di samping itu, nikmat yang tiada taranya ialah berpeluang bersama Rasulullah.

Posted by Ummi Umar Friday, March 13, 2009 0 comments

Sedar atau tidak, di Malaysia yang jumlah penduduknya 26 juta orang, penagih dadah yg telah terdaftar dengan Kementerian terbabit ialah seramai 350,000 orang. Mengikut WHO (World Health Organization) jumlah sebenarnya penagih dadah di sesebuah negara ialah, disebalik 1 tangkapan ada 3.5 lagi yang tidak ditangkap. Maknanya di Malaysia ada seramai 1 juta lebih penagih dadah. Maknanya, dalam setiap 26 juta, ada 1 juta orang penagih, dalam 260,000, ada 26,000 orang penagih, dalam 26000 ada 2600 orang, dalam 260 ada 26 orang dalam dan antara 26 orang ada seorang penagih dadah. Jumlah ini cukup besar, maknanya di sekolah, tiap-tiap kelas ada seorang yang akan menjadi penagih, (dengan izin, jika fenomena ini masih berterusan).

Sedar atau tidak? Dalam negeri Selangor, daerah yang paling ramai jumlah penagih ialah HULU LANGAT. Sedar atau tidak. Pernah keluar dalam suratkhabar, menyatakan hampir setiap rumah di daerah Hulu Langat ada seorang penagih dadah, walaupun kenyataan ini dinafikan oleh orang lain.

Dan tahun sekarang ini, di Universiti, terdapat 16 orang penagih dadah terdiri daripada mahasiswa (laporan akhbar merujuk kenyataan seorang doktor). Di sekolah menengah sudah ada penagih dadah jenis ganja.

KAJIAN

Kajian menunjukkan terdapat pelbagai punca yang menyumbang terhadap penyalahgunaan dadah. Selain dari ikutkan kawan, keinginan untuk mencuba, masalah keluarga, masalah peribadi, mak ayah bercerai, tinggal dengan keluarga penagih dan macam-macam lagi.

Dari segi umur, kebanyakkan bermula ketika 14 tahun. Dari kajian saya sendiri di beberapa pusat serenti di Malaysia, mereka yang mengambil dadah sebenarnya mempunyai masalah sejak kecil. Namun masalah mereka tidak dapat di scan dan detect oleh sesiapa semasa berada di sekolah rendah.

Pada siapa mereka nak mengadu? Kalau mak ayah selalu bergaduh, guru di sekolah sibuk tanda buku dan mesyuarat? Tidak sempat berfikir panjang, mereka keluar dan lari dari rumah, jumpa tauke Cina, dengan cinalah mereka bekerja dan tak balik-balik sehingga usia 18 tahun. Ketika itu, mereka dah biasa dengan rokok, arak, tembakau, ganja dan mula berjinak dengan heroin. Sembahyang? apalagi?

Dek masalah yang terlampau banyak, pihak Kerajaan, yang sangat prihatin, mewujudkan satu peluang kerja di sekolah, iaitu Guru Bimbingan dan Guru Kaunseling. Antara tujuannya untuk membantu membendung masalah tadi dari terus merebak sebelum nasi menjadi bubur.

Baru-baru ini, (bulan 12) pihak kementerian mengeluarkan lagi surat pekeliling,membebaskan guru Bimbingan dan Kaunseling dari terikat dengan pekerjaan mengajar secara wajib, menanda buku, membuat persiapan untuk mengajar dan hal-hal yang berkaitan. Guru kaunseling sebenarnya tiada masalah untuk mengajar, sebab mereka ada diploma perguruan, mereka masih boleh ganti guru yang tidak hadir, akan tetapi, pekerjaan guru kaunseling tiada siapa yang sanggup buat, sebab memerlukan kepakaran khusus. Kalau berani buat juga, boleh kacau jadinya.

Masalah timbul, apabila guru kaunseling bebas mengajar, ada antara mereka yang tidak berapa hebat buat kerja, atau buat kerja tetapi orang tak nampak mereka bekerja. Perlu di maklumi, ada antara mereka yang mendapat didikan khusus selama 4 tahun dalam bidang kaunseling di Universiti, ada 1 satu dalam jurusan KPLI di maktab, dan ada kadang-kala ada yang kursus 14 minggu cuma. Terjadilah dalam ramai-ramai guru kaunseling ini yang kurang mahir nak mulakan kerja, ada pula masalah mereka nak buat kerja tetapi dihalang dari buat kerja. Ini pun berlaku. Ada yang tak suka kerja kaunseling, katanya tak dapat membantu apa-apa pun. (Padahal, dalam kes penagihan, Dr.Dharma dari Klinik Tampin mengakui, penagih dadah tidak boleh sembuh dengan mudah, kecuali dengan ubat dan sesi kaunseling.12.03.09).Tanpa kaunseling, segalanya berantakan kembali.

Kekurangan yang terjadi ini adalah masalah kecil, dan pihak PPD sedang sentiasa mengadakan program meningkat tahap keprofesionalisme guru bimbingan ini. Kita mahu, kerja yang dibuat oleh guru bimbingan dilihat oleh orang, dan bukan sekadar dilihat, malah dihargai. Dengan itu, daerah Hulu Langat dengan berani buat pertama kali menganjur kursus membina laman blog pada semua kaunselor sekolah.

Dan dari sehari ke sehari, program sedang dirancang untuk dijelmakan menjadi kenyataan, cuma masa begitu iri.SALAM dari Norish, GBSM.

Posted by Noorhisham Thursday, March 12, 2009 0 comments

Tanda-tanda seseorang telah Cinta Allah. (Mahabbah)

1. Pengorbanan

Rela mengorbankan kehendaknya demi kehendak Sang Yang di cintainya. Syeikh Kadir Al-Jailani mengatakan dalam Futuhul Ghaib (Pembukaan kepada yang Ghaib2), Jadilah kamu dengan tuhan seperti mayat ditangan pemandinya,atau bola dengan pemainnya.


2. Ingatan

Ingatan, daya ingatannya kepada yang di cintai (Allah) tak pernah putus, selalu segar dalam hatinya walau kemana pun ia pergi.

3. Perubahan
Perubahan pada sikap dan watak, Cara hidup zuhud dan suka beru’zlah demi ibadah.

4. Nikmatnya Derita
Nikmat menghadapi derita, Segala mujahadah dan ibadah itu di rasa ringan dan nikmat bagi dirinya.

5. Rindu
Ingin selalu mendengar khabar, selalu menyenangi keterangan dan penjelasan tentang rahsia-rahsia ketuhanan termasuk tentang kematian, alam barzakh dan akhirat (Percik-percik Kesufian)


disalin dari http://norish77.blogspot.com

Posted by Noorhisham Monday, March 09, 2009 0 comments




Assalamualaikum...

Alhamdulillah....sudah masuk bulan ketiga persekolahan.... Pejam celik, pejam celik, sekolah ummi dah nak masuk minggu peperiksaan ( bermula 3 mac). Ummi yakin sudah tentu terdapat sekolah-sekolah yang sudah awal mendahului menjalankan ujian ini kalau di sekolah ummi dipanggil Ujian Penilaian, kalau di Sabah sekolah ummi ngajar dulu dipanggil Gempur Minda.... Dan mungkin di sekolah sahabat2 lain namanya lain pulak... hehehe.. Tak pelah tu, yang penting tujuannya tetap sama iaitu nak menilai tahap pemahaman pelajar selama yang diajar ni apa yang mereka dapat... betul kan??

Ummi memikirkan juga Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ)yang akan berlangsung pada 14 April nanti...Sibuk sangat rasanya.. Untuk mencari calon, Ummi buat program MTQ dalaman... moga2 dapat mencungkil bakat2 terpendam pelajar2 Ummi...

Oleh kerana Ummi tak cukup masa juga untuk menulis di blog ni, Apakata kalau Ummi nak buat Undangan Khas kepada cikgu, cikgi, ustaz, ustazah.... Tentu banyak yang ingin bercerita walaupun hanya cerita pendek... tapi mungkin boleh dimanfaatkan untuk kita semua warga guru...

Justeru, Bagi sesiapa warga guru yang berminat untuk menulis di blog ini...sila email terus kepada ummi (Ummufaruqi@yahoo.com)dengan memberi serba sedikit pengenalan diri dan dari sekolah mana...

Insya Allah, selepas mendapat email tersebut, ummi akan invite cikgu-cikgi dan seterusnya cikgu-cikgi menerima invite ummi dan bolehlah mula menulis....

Semoga kita boleh berkongsi maklumat dan mengambil manfaat darinya.
Sekian. Terima kasih.

Posted by Ummi Umar Wednesday, February 25, 2009 0 comments



Hari ni... ummi nak cerita tentang sukan.... Dalam sebulan ni sekolah ummi sedang sibuk dengan sukan sekolah. Menjadi kewajipan setiap sekolah menganjurkan kejohanan sukan sekolah.... Bermula dari merentas desa, lepas tu sukantara, dan hari ni dan semalam pra sukan, dan Kejohanan Sukan akan ditutup secara rasminya hari Jumaat ni (13 Feb 09).... Walaupun ummi ni 'buta sukan' ( betul ke istilah tu ye? kalau tak pandai main bola dipanggil 'kaki bangku'...), tapi ummi amat minat juga untuk mengambil tahu serba sedikit berkenaan dengannya. Kebetulan pula, pihak sekolah memang tau2 je ummi ni tak pandai bersukan langsung.... maklumlah, kat sekolah dulupun main sekadar je. Setakat pukul bulu tangkis tu boleh lah asal tak jatuh tapi nak harap ummi kutip mata mestilah orang tak berani nak bagi hehe, main bola jaring belum saring dah tertolak penyertaan hehe.... begitu lah ummi seadanya.... ... tugas ummi kebiasaan diberi sebagai pencatat keputusan, penjaga masa, namun ia cukup membuatkan ummi senang hati kerana tidak ketinggalan untuk menyumbang tenaga.... dan al-hamdulillah, banyak yang ummi tahu khasnya mencatat penyertaan untuk mengutip mata rumah sukan, menggunakan "perakam masa"(stopwatch, berkenaan undang2 larian 400m, 800m, 4 x 100m, 4 x 400m dan sebagainya... alhamdulillah...Terima kasih atas sokongan semua rakan guru yang tak jemu2 mengajar ummi yang 'buta dalam celik' ni hehe....


Bercakap tentang sukan, memang Islam amat menggalakkan umatnya aktif , sihat rohani dan jasmaninya. Sihat rohaninya tentulah dari segi dalamannya bermaksud baik ibadatnya, baik akhlaknya, baik budi pekertinya seiring dengan kehendak syarak. Taat dengan perintah Allah dengan menunaikan solat 5 waktu, taat pada ibu bapa, taat pada guru, sentiasa suka melakukan kebaikan dan bencikan kemaksiatan dan kemungkaran. Juga menjaga pemakanan agar hati sentiasa terjaga dan terarah kepada kebaikan. Sihat rohani seseorang bagi ummi pasti bergantung kepada setakat mana pengabdian diri seseorang kepada Allah SWT.

Sihat jasmani sudah tentu dilihat dari segi luaran. Kecergasan tanpa lemah, mata dan semua pancaindera sihat, Sihat tubuh badan, Sentiasa ceria dan gembira. Dan ia boleh diperolehi dengan cara hidup yang sihat.... Mungkin itulah yang ummi boleh terjemahkan pemahaman ummi...

Berbalik kepada sukan, kata-kata pujangga " Badan sihat akal cerdas" adalah biasa kita dengari. Ya. Sudah tentu tubuh badan kita akan sihat dengan izin Allah jika kita pandai menjaganya. Mengawal pemakanan, memperbanyakkan senaman dan sebagainya.

Namun, sudah tentu bersukan juga ada tata susila yang perlu kita jaga sebagai umat Islam. Untuk mendapatkan matlamat kecerdasan dan kesihatan yang baik sudah tentu tidak lari dari garis panduan sebagai umat Islam.. Tentu kita pernah dengar ungkapan " matlamat tidak menghalalkan caranya..."

Garis panduan kita sebagai seorang Islam wajib kita patuhi agar kita sentiasa dipelihara oleh Allah daripada perkara-perkara yang tidak baik. Bermula dari pakaian sukan yang betul-betul menutup aurat sehinggalah kepada pergaulan sesama kita. Apa yang ummi perhatikan, masih ramai di kalangan kita khasnya dan pelajar amnya mengabaikan tuntutan ini. Masih ada pelajar lelaki yang tidak segan silu memakai seluar pendek, sedangkan semua sudah maklum aurat lelaki adalah antara pusat hingga ke lutut.... Pelajar perempuan pula, masih suka memakai tshirt berlengan pendek, bagi yang ada perasaan malu sedikit akan menyarung lengan, tapi tentulah lebih ramai yang tidak merasa malu...

Tudung yang sangat singkat juga mendedahkan aurat mereka. Ditambah lagi dengan kain tudung yang jarang, tidak memakai serkup kepala, membiarkan alur bahagian dada terbuka dan bermacam-macam fesyenlah yang ummi tengok, bila berlari dan melompat, tau ajelah apa yang nampak dan banyaklah yang tersingkap .... Erm... ntahlah. Sudah ditegur berkali2 masih mengulang perkara yang sama. Ibubapapun tentulah wajib seiring memainkan peranan. Memerhati dan menegur pemakaian anak perlu bermula dari rumah.... Jika ia dapat dipraktikkan, tiadalah lagi alasan pelajar " Mak bapak akupun tak larang..."

Atau bagaimana ? Anda ada komen ??

Semoga kita sentiasa mendapat perlindungan daripada Allah.

Posted by Ummi Umar Tuesday, February 10, 2009 2 comments


Hari ni, Ummi nak tulis tentang boikot.... Boikot apa ye? hehe........ Setiap hari terutama dalam perjalan ke sekolah, ummi akan sentiasa menjadikan Radio Ikim sebagai halwa telinga.... Banyak ilmu yang ummi dapat dari radio kegemaran ummi ni...... Memang menepati citarasa ummi......... al-hamdulillah........ dalam banyak-banyak radio yang berkumandang di serata dunia malaysia ni, ikim lah radio yang sentiasa lekat di hati ummi.... Radio yang kedua adalah radio Pahang, tapi tentulah ada masa-masa tertentu sahaja yang ummi pilih terutamanya pada setiap jam 1.30 petang.... Ceramah Pilihan.... dan petang ummi tak ingatlah waktu dan harinya ada pembelajaran membaca al-Quran bersama ustaz..... alhamdulillah....

Ok. Berbalik kepada boikot...... dah tentulah sepertimana yang diwar-warkan sentiasa di Radio Ikim... Jurucakap radio sentiasa berulang-ulang kali mengajak kita agar dapat menghentikan pembelian produk-produk yang menyokong ekonomi Israel Laknatullah.... Memang menjadi tanggungjawab kita untuk bertindak sebagai 'kuasa membeli' agar lebih berhati-hati memilih barangan keperluan.... semoga kita tidak termasuk di kalangan orang-orang yang tidak perihatin tentang kesengsaraan dan penderitaan rakyat Islam di Palestin....

Bagi ummi, apalah usaha lain yang boleh di buat kepada mereka selain sumbangan, tentulah memboikot produk-produk israel juga sedikit sebanyak mampu melumpuhkan usaha untuk membeli senjata-senjata canggih dan menambah koleksi bom untuk meneruskan agenda laknat mereka....

Justeru, Ummi menyeru diri ummi dan rakan semua agar bersama-sama memboikot ..... dan tentulah setakat yang boleh, janganlah sehingga membazir atau membuang sesuatu yang sudah ada di rumah....nanti tergolong dalam golongan orang membazir pula.... atau bagaimana???


Nanti ummi sambung yek...

Posted by Ummi Umar Wednesday, February 04, 2009 0 comments



Hari ni ummi nak cerita tentang lalat.... Heheh... Ada kisah pada ummi sebenarnya pada hari semalam... (Selasa-3/2/09)... Kebetulan hari tu, Sekolah Ummi menjadi tuan rumah Sukan Merentas Desa peringkat sekolah-sekolah... Maka ramailah guru-guru pengiring yang datang...
Seperti biasa ummi turun dengan rakan untuk makan.... biasanya ummi turun sekali sahaja.... "malas" nak turun dua tiga kali... satu malas, satu lagi jimat, satu lagi memang tak lapar.... Tapi kalau ummi rasa lapar barulah ummi turun untuk round two untuk makan ringan2.... hehe

Ok... berbalik pada kisah semalam, Disebabkan ramai sangat tetamu yang datang menjamu selera maka tak dapatlah ummi makan di tempat ruang makan guru, oh tak pelah tu, tak jadi masalah bagi ummipun, patutlah ummi tengok ramai cikgu perempuan yang makan di ruang luar tempat pelajar.... rupa2nya ruang guru penuh dengan kaum adam lelaki je hmm....

Selepas siap ambil makanan( nasi ) dan minuman ( teh panas) di bahagian dalam, Ummipun beredar juga di ruang luar untuk makan. Maka duduklah ummi bersama guru-guru tetamu yang ada ... sorang dari kemayan, tembangau ada, triang 1 kalau tak silap pun ada sama .... Ummi sangat senang makan bersama mereka...

Ops... tiba tiba selepas dua tiga suap ummi makan, datanglah seekor lalat jatuh ke dalam air teh ummi.... hmmm apa lagi matilah dia kena air panas.. Apa ni nak buat ni yer? Lalat.... tentulah jijik kalau kita tengok lalat hinggap kat makanan kita, apatah lagi terlonglai mati di dalam air yang kita nak minum....nak buang ke? Ummipun bersuara " Alahai lalat jatuh dalam air lah..." Maka dengarlah ummi cadangan rakan yang suruh order lain.... Tapi Ummi rasa tak perlulah order lain ..., apa yang ummi buat ialah merendamkan lalat tersebut ke dalam air tersebut dan keluarkannya.... Dengan selambanya, Ummi terus sambung makan.

Hehe.... Ummi yakin tentulah di kalangan rakan tadi terasa jijik atau terkejut dengan perlakuan ummi, tapi ummi buat gitu tentulah ada sebabnya... ummi teringat pesanan Rasulullah mafhumnya berpesan sekiranya lalat jatuh ke dalam minuman maka rendamlah ia ke dalam air minuman itu kerana di sebelah sayapnya ada racun dan di sebelah lagi ada penawarnya.... Kalau nak tengok atau baca kat sini...( Siri 21) dan sini.

Begitulah adanya, dengan adanya hadis Rasulullah itu menguatkan hati ummi untuk minum air tersebut walaupun kebiasaannya kita akan "jijik" bila melihat lalat..... itu lalat, tapi kalau semut pulak macamana ye? Ok. Nanti ummi sambung lagi..

WallauhuAklam... Sekian. Wassalam...

Posted by Ummi Umar 0 comments


Assalamualaikum wrt wbth

Alhamdulillah... Sudah lama ummi tidak menulis di blog kesayangan ini.... Entahlah mungkin sibuk dengan kerja dan urusan rumahtangga yang perlu diutamakan... Dan mungkin juga tiada idea...

Namun begitu, ummi sentiasa berharap agar satu hari nanti blog ini benar2 berfungsi dan sentiasa terisi dengan bahan-bahan ilmiah.... InsyaAllah...

Harapan dari ummi agar ia dapat diisi dengan bahan bermanfaat khas untuk ummi dan sesiapa sahaja yang menziarahi blog ini...

Bermula dengan tajuk azam baru untuk tahun 2009 ini, ummi yakin sudah tentu ramai di kalangan kita yang menggariskan beberapa azam baru, dan mungkin juga hanya satu.... Namun azam yang kita titipkan di dalam hati walaupun hanya satu namun mungkin boleh mengubah kita ke arah yang lebih baik... Itupun jika kita sertai dengan usaha untuk mencapainya...

Jika ia hanya sekadar azam tetapi tiada usaha langsung untuk kita mencapainya... tentulah azam hanya tinggal azam sedikitpun tidak terkesan atau mengubah diri ke arah yang lebih baik khususnya ke arah jalan redha Allah.

Apa-apapun, ummi amat berharap agar azam seorang guru untuk menjadi lebih amanah dalam menjalankan tanggungjawab mendidik anak-anak didik akan sentiasa bertakhta di hati sampai bila-bila walaupun pelbagai cabaran dan rintangan yang mendatang, moga tidak melemahkan semangat gigih yang sedia ada...

Ummi sentiasa ingat pesanan tuan pengetua....mafhumnya " Amanah lah dalam bekerja dalam mendidik anak-anak pelajar kerana itulah hasil pendapatan utama kita sebagai seorang guru... "

" Didiklah mereka sebaik mungkin kerana generasi ini jugalah yang akan mendidik anak cucu kita nanti..."

" Anggaplah anak didik kita seperti anak kita sendiri, jika kita ingin anak-anak kita sendiri dididik dengan baik, maka jalankanlah tangungjawab kita seikhlas mungkin mendidik anak orang dengan baik juga kerana Allah akan membalas kebaikan kita itu dengan menganugerahkan guru yang baik juga untuk anak-anak kita...."


Begitulah serba sedikit yang ummi dapat paham pesanannya... Moga ummi sentiasa ingat pesanan tersebut kerana ummi juga ada seorang anak yang perlukan didikan dari guru-guru yang baik juga.... InsyaAllah...

Setakat ini dulu tulisan ummi. Jika ada kesempatan, ummi akan menulis lagi.
Wassalam..

Posted by Ummi Umar Friday, January 30, 2009 0 comments



Hari ni, hadir sekolah seperti biasa. buat kerja dan 'borak2 apa yang patut...) hehe
Pastu pukul 10 lebih kurang Mesyuarat Guru ( mesyuarat penutup 2006 )
Mendengar ucapan pengetua adalah perkara yang biasa di setiap mesyuarat. Berisi juga mesyuarat kali ini.

Alhamdulillah, sebagai Pengetua, beliau telah berusaha menjadi majikan yang baik untuk agama, bangsa dan negaranya. Siap senaraikan Refleksi bagi dirinya dan semua guru2 untuk dihayati bersama. Alhamdulillah terima kasih kepada pengetua kerana berjaya mengingatkan diri ini yang sering alpa.

Di bawah ni saya catatkan Refleksi tersebut sebagai renungan dan ingatan :

Refleksi 2006

1. Refleksi kita sebagai hamba Allah.
2. Refleksi kita sebagai Khalifah Allah.
3. Refleksi kita sebagai Pewaris Anbiya'.
4. Refleksi kita sebagai Ibubapa.
5. Refleksi kita sebagai Ketua keluarga
6. Refleksi kita sebagai guru.
7. Refleksi kita sebagai sahabat.
8. Refleksi kita sebagai Rakan Sejawat.
9. Refleksi kita sebagai pemimpin.
10. Refleksi kita sebagai Ketua.
11. Refleksi kita sebagai Contoh ikutan.
12. Refleksi kita sebagai Pengurus Kurikulum.
13. Refleksi kita sebagai Pengurus Ko-Kurikulum.
14. Refleksi kita sebagai Pembina Insan.
15. Refleksi kita sebagai Pencinta Keceriaan.
16. Refleksi kita sebagai Pejuang agama.
17. Refleksi kita sebagai Pejuang bangsa.
18. Refleksi kita sebagai Penggerak Masyarakat.

Moga 2007...... bertambah kebaikan dan perubahan ....

Posted by Ummi Umar Thursday, November 23, 2006 0 comments

22 Nov 2006
Hari ni, Hari ke 3 cuti persekolahan. Pelajar2 dah cuti, tapi cikgu2nya kena datang sekolah. Seminggu lagi.... siapkan apa-apa kerja yang tak siap....
Banyak juga kerja, lebih2 lagi sebagai guru kelas. Antaranya siapkan rekod kedatangan, buat sijil untuk pelajar SPM ni... sijil berhenti sekolah.... Buku rekod mengajar dah tentulah....
Tutup buku lah dalam erti kata lain....

Esok ada mesyuarat guru... penutup 2006 ... dan pembuka 2007...

Posted by Ummi Umar Wednesday, November 22, 2006 0 comments


Hari ni... 21 11 2006

Gotong Royong Guru - Semua guru-guru dibahagikan tugas untuk 'bertugas' di taman-taman sekeliling sekolah, semuanya bekerja keras di bahagian masing-masing. Ada yang angkat batu, ada yang tanam pokok, ada yang cabut rumput dan macam-macam lagilah...

Alhamdulillah, seronok juga walaupun terasa juga kepenatannya tapi yang pasti hubungan antara guru juga bertambah rapat dan mesra...maklumlah kalau di pejabat, biasanya cerita berkisar tentang masalah pelajar, fail mana yang perlu disiapkan, apa perancangan mengajar lepas ni dan macam-macam lagi.... Masa berbualpun terhad, time kelas tak ada, barulah boleh berjumpa.....turun kantin sama... tapi tak dapat juga serentak kerana semua guru kena ikut jadual kelas masing-masing....

Tapi hari ni, masa lebih banyak terluang dan sambil gotong-royongpun boleh juga bergurau sesama guru....

Posted by Ummi Umar Tuesday, November 21, 2006 0 comments

Subscribe here

SELAMAT BERTAMU KE WEB KAMI..... AMANAH GURU.... SEGALA PANDANGAN DAN CADANGAN DEMI MEMANTAPKAN LAGI PROFESION PERGURUAN AMATLAH KAMI HARAPKAN DEMI MENCAPAI KEREDHAAN ILAHI......