Wednesday, May 6, 2009

ANUGERAH Industri Muzik (AIM) kali ke-16 baru sahaja melabuhkan sauhnya. Artis-artis yang ditabalkan sebagai pemenang dalam kategori masing-masing pulang dengan hadiah-hadiah lumayan yang ditawarkan oleh pihak penganjur. Pengiktirafan demi pengiktirafan dihamparkan kepada golongan artis atas jasa menghiburkan pelbagai lapisan masyarakat tidak kira tua mahu pun muda.

Malah artis seperti Datuk Siti Nurhaliza, penyanyi nombor satu negara telah meraih sebanyak lebih daripada 150 anugerah seni dalam dan luar negara hasil daripada nyanyiannya yang berjaya menghibur para pendengar.

Terbaru, Tomok pula dianugerahkan dengan ganjaran RM1 juta kerana memenangi pertandingan One In A Million.

Meet Uncle Hussain juga tidak kurang hebatnya apabila telah mengungguli tiga anugerah hiburan berprestij tahun ini iaitu Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-23, Anugerah Bintang Popular dan AIM ke-16.

Di sudut yang lain, doktor yang bergadai nyawa siang dan malam menyelamatkan nyawa ribuan manusia jarang diberi penghormatan sebesar itu, malah sering dipersalahkan atas kelemahan dan kecuaian yang berlaku.

Mungkin tidak ramai yang prihatin apabila para doktor dan jururawat sentiasa berada di barisan hadapan setiap kali negara dilanda wabak penyakit yang merungsingkan semua.

Lihat sahaja ketika ini, di saat seluruh dunia bimbang akan penyebaran virus influenza A (H1N1), para doktor berkorban nyawa, menanggung risiko kemungkinan dijangkiti wabak itu, apabila mereka dipertanggungjawabkan dengan tugas memeriksa setiap pelawat yang tiba di pintu masuk utama negara.

Mereka dikerah bertugas siang dan malam semata-mata bagi mengawal penyebaran wabak ini kepada rakyat Malaysia.

Perkara serupa juga berlaku ketika negara diserang virus JE dan virus Nipah. Para doktor dan jururawat jugalah yang bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia, sehingga ada di kalangan mereka yang turut dijangkiti virus itu.

Selayaknya para doktor dan jururawat diberi penghormatan yang sebesar-besarnya atas jasa bakti menyelamatkan seluruh warga negara Malaysia tanpa mengira kaum dan ikutan agama daripada dijangkiti penyakit berbahaya ini.

Kecuaian yang mungkin dilakukan oleh sesetengah pengamal perubatan tidak wajar dijadikan alasan untuk memperlekehkan mereka, sehingga seolah-olah segala jasa bakti kepada negara dilupakan begitu sahaja.

Sebagai manusia biasa yang tidak maksum, semua perlu sedar bahawa kekurangan dan kealpaan merupakan sifat semula jadi manusia. Malah yang afdal, segala kelemahan dan kecuaian yang berlaku diganti dengan usaha-usaha penambah baikkan untuk manfaat bersama.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: ''Semua anak Adam melakukan kesalahan dan sebaik-baik yang melakukan kesalahan adalah orang yang bertaubat, berhenti daripada melakukan kesalahan itu.''

Golongan guru juga sering menerima nasib yang sama. Setiap kali pelajar dihukum kerana kenakalan anak-anak, mereka dihujani dengan pelbagai tohmahan dan kata-kata nista. Masyarakat kelihatan alpa dengan cabaran dunia pendidikan masa kini yang jauh berbeza daripada zaman lalu.

Sering kali dilaporkan berita murid membelasah guru dan tidak kurang juga terdapat laporan-laporan yang melibatkan salah laku guru. Semua ini berlaku kerana faktor persekitaran yang turut menyumbang kepada masalah yang berlaku.

Oleh itu, ungkapan guru umpama lilin, membakar diri untuk kebahagiaan orang lain selayaknya dihayati dengan rasa tanggungjawab bersama. Ini kerana tugas memberi pendidikan tidak hanya terbatas kepada guru di sekolah sepenuhnya.

Ibu bapa juga wajar memainkan peranan sebagai pendidik kepada anak ketika mereka di rumah. Malah jika diteliti, mereka lebih lama berada di rumah berbanding di sekolah yang hanya memakan masa lebih kurang tujuh hingga lapan jam sahaja sehari.

Ibu bapa juga disaran menjadi contoh teladan terbaik kepada anak-anak dengan sentiasa melakukan ketaatan dan kebajikan.

Amalan solat berjemaah bersama seluruh ahli keluarga selain dapat merapatkan hubungan dengan Allah SWT juga mampu menjadi mekanisme terbaik kepada pendidikan anak-anak.

Tulisan ini tidak bermaksud untuk menyatakan isu betul dan salah, sebaliknya marilah kita seluruh warga negara atas prinsip One Malaysia, bersama berganding bahu memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan yang berlaku.

Amalan menuding jari menyalahkan orang lain tidak akan memberi apa-apa kebaikan untuk kejayaan bersama. Adalah lebih manis jika cadangan-cadangan penambahbaikkan disalurkan kepada pihak-pihak tertentu agar perkara serupa tidak berulang kembali.

MOHD. ALI MUHAMAD DON

Pensyarah Pusat Pemikiran

dan Kefahaman Islam

UiTM Kampus Bandaraya,

Johor Bahru

Sumber : Cikgu Malaysia

Posted by Ummi Umar Friday, May 08, 2009

2 comments

  1. Anak-anak orang Melayu/Islam tidak mendapat pendidikan Agama Islam yang secukupnya, sebab itu lebih gemar kepada hiburan, lumba haram, lepak dan sebagainya...

    Perlu tindakan yang lebih tegas diambil supaya pendidikan agama diberi secukupnya mulai sekolah rendah lagi..., sekolah menengah...dan sehingga ke Universiti..

     
  2. Anonymous Says:
  3. akm.

    Ilmu agama sebenarnya bukanlah perkara asing dalam hidup kita.

    Zaman dulu, setiap pedagang adalah pendakwah. Petani pun pendakwah. (etc). (MARILAH KITA IKUT).

    Jadi, sepatutnya kita sama-sama belajar agama daripada mak ayah kita.

    (TAPI INTERNET LEBIH PANTAS DARIPADA SUARA MAK AYAH KITA).
    [Saya nak beranak ramai pun dah rasa takut].

    Sekian,saya sudah abis idea.

    tq.

     

Subscribe here

SELAMAT BERTAMU KE WEB KAMI..... AMANAH GURU.... SEGALA PANDANGAN DAN CADANGAN DEMI MEMANTAPKAN LAGI PROFESION PERGURUAN AMATLAH KAMI HARAPKAN DEMI MENCAPAI KEREDHAAN ILAHI......