Assalamualaikum dan salam sejahtera semua
Baca tajuk cerita kali ini, tentu mengundang banyak persepsi dikalangan guru dan umum.
Jom kita baca artikel yang saya salin dari Utusan Online hari ini.
KUALA LUMPUR 13 Nov. - Sikap guru yang membosankan dan tidak tahu menggunakan pendekatan psikologi bagi menarik perhatian pelajar menjadi punca kepada kegiatan ponteng sekolah.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, situasi itu terjadi disebabkan ada antara guru tidak ikhlas melakukan pekerjaan itu.
Menurutnya, segelintir guru ini tidak berminat menjadi guru namun ekoran ketiadaan pilihan lain, mereka terpaksa menerima pekerjaan berkenaan.
''Apabila tiada minat, mereka ini sekadar melepaskan syarat sahaja mengajar murid-murid di sekolah tanpa ada sebarang kesungguhan dan komunikasi dua hala.
''Inilah punca sebenarnya membuatkan pelajar berasa bosan berada dalam kelas,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.
Beliau mengulas laporan akhbar semalam mengenai 178 murid ditahan di kafe siber dalam Operasi Ponteng Ayuh Ke Sekolah! di sekitar Sri Rampai, Keramat dan Wangsa Maju di sini kelmarin.
Salah seorang murid terbabit memberitahu, dia bertindak demikian kerana bosan berada dalam kelas.
Hashim menegaskan, kumpulan guru seperti ini perlu mengubah sikap dan memperbaiki diri bagi memikat pelajar untuk datang ke sekolah.
''Jangan kerana tidak ada minat maka pelajar-pelajar ini menjadi mangsa pemberontakan mereka.
''Cara ini salah, mereka perlu mencari jalan agar pelajar-pelajar ini mempunyai minat untuk belajar selain bantuan yang diberikan oleh ibu bapa,'' katanya.
Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan, pula berpendapat, kegiatan ponteng sekolah berlaku kerana tiada aktiviti dianjurkan oleh pihak sekolah pada penghujung akhir tahun.
''Guru pada masa ini sibuk kerana terpaksa memeriksa kertas peperiksaan akhir tahun di samping penyeliaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi,'' katanya.
Beliau berkata, waktu senggang pelajar pada masa ini amat sesuai diisi dengan program bermanfaat seperti kegiatan sukan, kelas kemahiran teknologi maklumat (IT) dan aktiviti perkhemahan.
''Maka saya menyeru Kementerian Pelajaran supaya dapat memikirkan sesuatu bagi mengatasi masalah ini.
''Banyak perkara dapat dilakukan oleh pelajar-pelajar ini daripada membuang masa tidak berbuat apa-apa di sekolah,'' katanya.
rasasayang79
Assalamualaikum wbt
Bertemu lagi bersama rasasayang79, kali ini kita akan melihat bagaimana seorang guru boleh bertindak sebagai penggerak motivasi kepada para pelajar.
Sebagai seorang guru, kita memiliki pelbagai tanggung jawab dan
tugas yang harus dilaksanakan sesuai dengan tuntutan profesi
guru.Tugas utama dan terpenting yang menjadi tanggung jawab seorang
guru adalah memajukan, merangsang dan membimbing pelajar dalam
proses belajar. Segala usaha kearah itu harus dirancang dan
dilaksanakan. Guru yang berkesan dalam menjalankan tugasnya adalah
guru yang berjaya menjadikan pelajarnya bermotivasi dalam pelajaran.
Oleh itu untuk keberkesanan dalam pengajaran, guru harus berusaha
memahami makna motivasi belajar itu sendiri dan mengembangkan serta
menggerakkan motivasi pemberlajaran pelajar itu ke tahap yang
maksimum.
Guru dapat memahami motivasi belajar jika sewaktu mengajar dia dapat
melaksanakan langkah-langkah seperti berikut:
1. Mengenal pasti tingkat kecerdasan para pelajar.
2. Melaksanakan teknik memotivasi pelajar.
3. Merumuskan tujuan belajar dan mengaitkan tujuan itu dengan
keperluan dan minat pelajar.
4. Menerapkan kemahiran bertanya kepada pelajar.
5. Melaksanakan aktiviti pengajaran dengan urutan yang sistematik.
6. Melaksanakan penilaian diagnostik.
7. Melaksanakan komunikasi interpersonal.
Memotivasi pelajar merupakan salah satu langkah awal yang harus
dilakukan oleh seorang guru dalam pengajaran dan pembelajaran. Jika
guru telah berjaya membangun motivasi pelajar semasa pengajaran dan
pembelajaran bermakna guru itu telah berjaya mengajar. Namun
pekerjaan ini tidaklah mudah. Memotivasi pelajar tidak hanya
menggerakkan pelajar agar aktif dalam pelajaran, tetapi juga
mengarahkan dan menjadikan pelajar terdorong untuk belajar secara
terus menerus, walaupun dia berada di luar kelas ataupun setelah
meninggalkan sekolah.
Untuk meyakinkan diri kita bahawa memotivasi pelajar dalam belajar
merupakan tugas guru dan berkewajiban pula melaksanakannya, maka
pendekatan Behavioristik perlu kita jadikan pedoman dalam mengajar.
Para pakar Behavioristik mengemukakan bahawa motivasi ditentukan
oleh persekitaran. Guru merupakan persekitaran yang sangat
berperanan di dalam proses belajar. Oleh kerana itu, meningkatkan
motivasi pelajar dalam pelajaran merupakan tugas yang sangat penting
bagi guru.
Mengapa usaha memotivasi pelajar itu sangat penting bagi guru?
Sesetengah guru mungkin beranggapan bahawa tugas mereka sebagai guru
hanyalah mengajar sahaja, bukan menimbulkan minat pelajar terhadap
apa yang mereka ajarkan. Guru-guru seperti ini menghabiskan masa
mereka di dalam kelas semata-mata hanya untuk menuangkan bahan
pelajaran kepada pelajar. Mereka tidak peduli sama ada isi pelajaran
yang mereka ajarkan atau yang mereka terangkan itu dapat diterima
oleh pelajar untuk dijadikan sebagai miliknya atau tidak. Mereka
tidak memperhatikan apakah bahan yang mereka ajarkan itu bermanfaat
dan mempengaruhi tingkah laku atau perkembangan pelajar ke arah yang
positif. Guru-guru seperti ini tidak menyedari bahawa pelajar-
pelajar yang tidak berminat tidak akan dapat menerima pelajaran
dengan baik.
Pelajar yang tidak berminat terhadap apa yang diajarkan oleh guru
tetapi dia diharuskan mempelajarinya, dapat menimbulkan suatu
perasaan benci terhadap mata pelajaran itu, bahkan untuk selanjutnya
pelajar itu tidak akan ingin pernah mempelajarinya. Di dalam kelas
yang kita ajar mungkin kita akan mendengar pelajar berkata, "Saya
tidak mampu belajar Bahasa Inggeris" atau "Saya tidak dapat belajar
matematik." Jika kita teliti permasalahannya, bukan kerana kedua-dua
mata pelajaran tersebut sukar atau tidak menyenangkan, tetapi kerana
guru kedua-dua mata pelajaran itu tidak menggunakan strategi yang
berkesan, sehingga pelajar tidak tertarik untuk mempelajarinya.
Pelajar tidak bermotivasi, malahan merasakan mata pelajaran tersebut
menjadi menyiksa mereka.
Guru seharusnya menggunakan masa yang banyak sewaktu mengajar untuk
memotivasi pelajar-pelajarnya. Pelajar yang termotivasi dengan baik
dalam pelajaran akan melakukan lebih banyak aktiviti dan lebih cepat
belajar jika dibandingkan dengan pelajar yang kurang atau tidak
termotivasi semasa belajar. Ini memandangkan, jika guru dapat
membangunkan motivasi pelajar terhadap pelajaran yang diajar maka
diharapkan pelajar akan sentiasa meminati mata pelajaran tersebut.
Sesungguhnya usaha memotivasi pelajar dalam pendidikan adalah
merupakan suatu proses (1) membimbing pelajar untuk memasuki
pelbagai pengalaman yakni proses belajar sedang berlangsung; (2)
proses menimbulkan semangat dan keaktifan pada diri pelajar sehingga
dia benar-benar bersedia untuk belajar; dan (3) proses yang
menyebabkan perhatian pelajar tertumpu kepada satu arah atau tujuan
pada satu masa, iaitu tujuan belajar.
Situasi kelas yang pelajar-pelajarnya termotivasi dapat mempengaruhi
sikap belajar dan tingkah laku pelajar. Pelajar yang termotivasi
untuk belajar akan sangat tertarik dengan berbagai tugas belajar
yang sedang mereka kerjakan; menunjukkan ketekunan yang tinggi;
variasi aktiviti belajar mereka pun akan lebih banyak. Di samping
keterlibatan mereka dalam belajar lebih besar, mereka juga kurang
menyukai tingkah laku yang negatif yang dapat menimbulkan masalah
disiplin.
Oleh kerana itu, dalam upaya menjaga dan meningkatkan disiplin kelas
maka motivasi pelajar mesti dipertimbangkan. Ini bermakna
meningkatkan motivasi pelajar dalam belajar merupakan suatu cara
yang baik dalam menghindari tingkah laku pelajar yang negatif,
kerana mereka terlibat aktif dalam belajar dan terangsang untuk
belajar.
Sebenarnya tujuan jangka panjang dalam membangun dan mengembangkan
motivasi pelajar dalam belajar adalah terbentuknya motivasi kendiri.
Kita sebagai guru ingin agar pelajar selalu terdorong untuk
mengembangkan minatnya untuk belajar walau di mana pun dia berada.
Kita berharap agar pelajar-pelajar kita sentiasa ingin menimba
pelbagai ilmu pengetahuan walaupun mereka telah lepas dari bimbingan
kita. Tujuan pendidikan yang paling utama adalah untuk membangkitkan
dalam diri pelajar suatu motivasi yang kuat dan terus menerus untuk
belajar. Hal ini akan menjadi suatu kecenderungan dan kebiasaan
dalam melakukan proses belajar selanjutnya.
Yang menjadi persoalan sekarang ialah bagaimana caranya kita semasa
melakukan pelbagai usaha untuk membangun dan mengembangkan motivasi
pelajar semasa belajar? Para pakar Humanistik, misalnya Carl Rogers,
seorang pakar psikologi mengemukakan bahawa pada dasarnya di dalam
diri setiap manusia ada keinginan yang sangat kuat untuk belajar
yang bersifat semulajadi. Jadi, di dalam diri pelajar keinginan itu
sudah ada. Guru hanya mengembangkan atau memupuk keinginan itu
sehingga keinginan belajar itu dapat direalisasikan dalam bentuk
prestasi yang maksimum. Para pakar Behavioristk pula, misalnya B.F.
Skinner, seorang pakar pendidikan mengemukakan bahawa motivasi
pelajar sangat ditentukan oleh persekitarannya. Pelajar akan
termotivasi semasa belajar jika persekitaran belajar dapat
memberikan rangsangan sehingga pelajar tertarik untuk belajar. Guru
harus mengatur persekitaran atau suasana belajar secara bijaksana
sehingga pelajar termotivasi untuk belajar.
Dalam proses mengajar dan belajar, guru dituntut memiliki pelbagai
pengetahuan dan pemahaman yang bermanfaat untuk menimbulkan dan
meningkatkan motivasi pelajarnya semasa belajar, sehingga proses
belajar yang dibimbingnya berjaya secara optimal. Oleh kerana itu,
guru perlu memahami dan menghayati serta menerapkan pelbagai prinsip
dan teknik-teknik untuk membangkitkan dan meningkatkan motivasi
pelajar dalam pembelajaran. Memang banyak sekali prinsip dan teknik
yang berbeza-beza yang perlu diketahui oleh guru, kerana di dalam
usaha memotivasi pelajar sesungguhnya tidak hanya satu prinsip dan
teknik yang paling mujarab dipakai untuk semua pelajar, sepanjang
masa, dan untuk semua situasi. Berbeza mata pelajaran, berbeza
keperibadian pelajar, dan berbeza keperibadian guru menuntut
perbezaan prinsip dan teknik yang dipakai dalam memotivasi pelajar.
Oleh kerana itu, perbezaan mata pelajaran, keperibadian pelajar dan
keperibadian guru harus dipertimbangkan dalam memilih prinsip-
prinsip dan teknik-teknik yang akan dipakai dalam memotivasi pelajar.
Di dalam kelas yang pelajar-pelajarnya terdiri dari kelompok yang
memiliki kemampuan yang sama namun berbeza keperibadian dan minat,
variasi prinsip-prinsip dan teknik-teknik yang dipakai akan lebih
banyak. Di dalam kelas mungkin kita akan menemui beberapa orang
pelajar yang mampu memotivasi dirinya sendiri. Pelajar-pelajar
seperti ini tidak banyak memerlukan pertolongan dari guru untuk
merangsang minat mereka dalam belajar, kerana mereka mampu mendorong
diri mereka sendiri. Kebanyakan pelajar akan mempunyai motivasi
belajar jika kita menggunakan berbagai teknik untuk memotivasi
mereka, namun ada pula sejumlah pelajar yang baru akan termotivasi
jika kita melakukan usaha-usaha khusus bagi mereka. Oleh kerana itu
kita sebagai guru hendaklah fleksibel dalam memakai berbagai
pendekatan dalam merangsang minat pelajar dalam belajar, serta mampu
menerapkan berbagai prinsip dan teknik yang berbeza sesuai dengan
keperluan para pelajar.
by rasasayang79
Assalamualaikum...
Alhamdulillah di atas segala nikmat dan keizinan Allah, dapat juga kami menukar wajah baru Blog Amanah Guru....
Semoga wajah baru ini..... akan mencetuskan azam baru, suasana baru dan penghijrahan baru yang lebih baik dari masa ke semasa....
Kami barisan Amanah Guru amat mengalu-alukan penyertaan ramai lagi penulis-penulis berbakat di luar sana agar dapat sama-sama menyumbang bukan sahaja di blog masing2 tetapi juga di Amanah Guru ini...
Sebarang pandangan dan cadangan bolehlah diemailkan sendiri kepada kami di alamat : Ummufaruqi@yahoo.com
Sekian. Terima kasih...
Assalamualaikum.
Semoga menjadi ikhtibar kepada kita semua.
Dipetik dari Utusan Malaysia, 6 Oktober 2009
06/10/2009 7:01pm
KUANTAN 6 Okt. — Seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mahkota, Jalan Gambang di sini mengemukakan saman RM228,000 terhadap pengetua sekolah terbabit kerana didakwa menjejaskan reputasinya.
Rozilah Abdullah, 37, yang memfailkan saman itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Sesyen di sini melalui Tetuan Balkhis Alias & Co pada 12 Ogos lepas menamakan pengetua, Aluwiyah Osman sebagai defendan.
Kes itu ditetapkan untuk sebutan pada hari ini, namun Hakim Hassan Abdul Ghani kemudian menetapkan 5 Nov. ini sebagai sebutan semula selepas wakil Pejabat Peguam Negara memohon tempoh masa untuk memfailkan penyataan balas terhadap tuntutan saman berkenaan.
Dalam pernyataan tuntutan itu, Rozilah mendakwa pada 24 Julai tahun lepas, defendan memalukannya di hadapan guru lain dengan menuding jari ke arahnya serta menyatakan beliau enggan mematuhi perintah defendan.
Rozilah mendakwa defendan telah membuat satu laporan terhadapnya dan berikutan itu seorang kaunselor daripada Pejabat Pelajaran Daerah Kuantan memanggilnya ketika beliau sedang mengajar memaklumkan satu laporan telah dibuat terhadapnya.
Rozilah, yang telah bertugas selama 13 tahun sebagai guru, mendakwa akibat laporan defendan, beliau telah menerima surat bertarikh 13 Feb. 2009 yang menyatakan tiada pergerakan gaji bagi beliau untuk tahun 2009.
Beliau juga mendakwa tidak pernah diberikan peluang membela diri kerana tidak dipanggil atau diberikan peluang menjawab laporan yang dibuat oleh ketuanya itu - Bernama
Ketika mereka sudah pun berada di alam sekolah menengah, waktu pulang dari sekolah, petang-petang kita terlihat dan melihat, ramainya antara mereka yang tidak memahami dan tidak mengerti hukum wajib memakai tudung kepala. Saat itu kita hanya memandang dan berkata di dalam hati, kenapalah budak ini tidak disuruh ibu nya memakai tudung, walhal dia ke pasar malam, ke kedai dan ke mana bersama ibunya, sedang ibunya memakai tudung. Kenapa ini terjadi?
Didikan Dari Orang Tua
Ya, yang pertama didikan dari orang tua sendiri, Syabas yang memakaikan tudung pada anak perempuan seusia 2 tahun. Orang tua seperti ini, adalah orang yang tahu hukum-hakam. Namun bagaimana pula keadaannya jika orang tua mereka jahil?
Peranan guru di sekolah
Nah, sekarang peluang guru-guru yang berada di sekolah memindahkan ilmu hukum ini kepada anak-anak didik mereka. Katakan kepada mereka bahwa melepaskan rambut (tidak bertudung bagi yang dah cukup umur) adalah berdosa. Di akhirat tuhan akan menggantungkan buah dada mereka didalam neraka dengan besi seperti mata kail yang dibuat dari api neraka. Apakah kamu sanggup menghadapi siksaan sebegini dahsyat ? Biarlah mak kamu tidak bertudung, tetapi kamu belajarlah perlahan-lahan untuk mempraktikkan ajaran Islam ini. Ajaran ini menyelamatkan kamu di dunia (gangguan) dan akhirat (siksa).
Ambilah peluang ini semasa perhimpunan pagi dan waktu relief di dalam kelas. Kelak setiap patah ucapan anda, akan menjadi pahala buat anda di dalam kubur. Bukankah tuhan menyatakan melalui lidah NabiNya, 3 perkara yang berguna bagi manusia setelah dia meninggal dunia, "Ilmu yang dimanfaatkan oleh orang lain". Mengajar sepatah ayat tentang kewajipan bertudung adalah salah satu saham abadi buat kita. Takkan dalam ratusan pelajar itu, tidak ada seorang pun yang mahu turut pengajaran kita ini?
www.noorhisham.com
Salam pembuka bicara.
Hmm.. ini pertama kali rasasayang79 mencoret sesuatu di dalam blog ini. Bukan tak mahu menyumbang karya tapi agak terkejut dan terharu atas penghormatan yang diberi.
Rasasayang79 bukanlah seorang yang terlalu hebat sehingga diberi penghormatan sedemikian rupa oleh pemilik blog kerana diri ini merupakan seorang guru cacat penglihatan yang tiada apa-apa istimewanya. Rasa malu pulak nak meneruskan bicara.
Tapi demi amanah yang diberi insyaAllah saya akan cuba sesuatu untuk para pembaca di luar sana.
Secara ringkasnya, saya seorang guru cacat penglihatan dan mengajar di salah sebuah sekolah di daerah Bera. Untuk mengenali lebih lanjut diri penulis, bolehlah singgah di blog yang tak seberapa adanya.
Di kesempatan yang terhad ini juga saya ingin mewakili semua penulis blog menyusun sepuluh jari seandainya ada salah dan silap yang sengaja mahupun tidak kepada semua sahabat handai dan para pembaca.
Dengan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin.
Macam mana dengan Hari Raya anda. Mungkin banyak kenangan dan peristiwa yang mengusik jiwa. Bolehlah dikongsikan di sini.
OK. Jumpa lagi di lain coretan.. wassalam.
Alhamdulillah ...
Dalam sebulan dua ni banyak kelas-kelas tambahan yang dibuat oleh pihak sekolah khasnya untuk pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan besar iaitu PMR dan SPM. Berbilang hari ada sahaja kelasnya mengikut jadual yang telah disusun.
Semangat guru sudah tentu berkobar-kobar untuk menyampaikan sesuatu yang mungkin tak sempat untuk diaplikasikan secara menyeluruh di waktu pengajaran dan pembelajaran sesi pagi. Justeru inilah peluang terbaik untuk guru menyampaikannya kepada pelajar-pelajar yang mereka kasihi.
Namun kadang-kadang semangat guru agar kendur juga apabila melihat para pelajar kurang minat untuk menghadirkan diri. Maklumlah belajar di waktu petang banyak alasan juga dibuat-buat seperti penat, tak ada kenderaan dan yang kata tak tau ada kelaspun ada. Sedih bukan kepalang, sedangkan diberitahu awal sudah, diedar jadual dan pembahagian kumpulan pun sudah, macamana pelajar masih tidak tau... Hmm pelik2 budak2 zaman sekarang ni.
Ummi tak risau pada segelintir yang memang peka dan perihatin, tahniah Ummi ucapkan kepada pelajar yang memang gigih dari awal tahun. Tapi mereka yang gigih tentulah tidak sampai separuh, mungkin Ummi boleh bagi 15 - 20% sahaja dari mereka. Namun yang selebihnya lagi tu.. hmmm... risau betapa ramainya tidak peka dan perihatin dan mencipta pelbagai alasan untuk menguzurkan diri.
Ada juga di antara mereka yang hadir tetapi lewat, tetapi masih dengan selambanya berlenggang-lenggok menuju ke kelas tanpa sdikitpun rasa malu dan rasa bersalah...
Sangat sedih bila memikirkan kebanyakan pelajar sekarang yang tidak endah dengan persekolahan mereka. Apakah tujuan mereka hadir ke sekolahpun masih kabur dengan tabiat suka merayau dan ponteng itu menjadi kebiasaan.
Jika dilihat kepada tabiat2 yang kurang senang dipandang ini berkemungkinan mereka hadir ke sekolah dengan sebab2 yang berikut ( Ini mungkin hanya dari fikiran Ummi aje ) :
1. Mak ayah yang suruh sedangkan diri tak minat.
2. Malu dengan orang sekeliling kalau tak pegi sekolah.
3. Nak jumpa pakwe kerana pakwepun sekolah lagi.
4. Nak tunjuk lawa dengan bedak dan celak yang tebal.
5. Nak jumpa kawan dan berborak-borak je.
6. Tak minat dengan leteran mak ayah di rumah ( kalau di sekolah kena leter juga tapi bersama kawan)
7. Saja nak cari marah cikgu je kot... Hmm...Cari dosa...Wallahu Aklam
Walau apapun tujuan mereka datang ke sekolah, kami sebagai guru tetap menjalankan tugas sebagai seorang guru iaitu menyampaikan ilmu yang ada khasnya untuk diamal dan dijadikan panduan hidup akan datang. Semoga sedikit usaha dan kesabaran semua guru membuahkan hasil yang baik walaupun tidak dalam masa yang terdekat..... atau mungkin setelah menghembuskan nafas terakhir...
Kata-kata perangsang dari tuan pengetua menjadi pendorong semangat yang sentiasa Ummi ingatkan untuk diri sendiri.... " Sampaikanlah dan didiklah anak pelajar kita dengan baik, jangan kita mengharapkan mereka berubah sekelip mata atau di hadapan kita, mungkin perubahan ke arah baik itu akan berlaku setelah mereka meninggalkan sekolah, semasa dewasa ataupun setelah kita telahpun di usia tua atau meninggal dunia. Yang penting jalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah ini dengan hati yang ikhlas dan jujur... " kerana Sesungguhnya Hidayah Allah itu milik Allah. Dialah yang berhak menentukannya...
Tentu kita pernah mendengar kisah Nabi kita Muhammad SAW tatkala mengeluh sedih di atas ketidakislaman bapa saudaranya Abu Talib... maka turunlah ayat Allah SWT bagi meredakan kesedihan baginda mafhumnya :" Sesungguhnya bukan engkau yang memberi hidayah, Tetapi Allahlah yang memberi hidayah kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki...."
Tahniah kepada semua guru Ummi atas kesabaran mereka mendidik Ummi dulu. Dan Tahniah juga kepada guru2 kini dengan pengorbanan mereka mendidik anak bangsa...
Moga segala usaha dikira oleh Allah sebagai ibadah kepadaNya...