Assalamualaikum wbt


Bertemu lagi bersama rasasayang79, kali ini kita akan melihat bagaimana seorang guru boleh bertindak sebagai penggerak motivasi kepada para pelajar.


Sebagai seorang guru, kita memiliki pelbagai tanggung jawab dan
tugas yang harus dilaksanakan sesuai dengan tuntutan profesi
guru.Tugas utama dan terpenting yang menjadi tanggung jawab seorang
guru adalah memajukan, merangsang dan membimbing pelajar dalam
proses belajar. Segala usaha kearah itu harus dirancang dan
dilaksanakan. Guru yang berkesan dalam menjalankan tugasnya adalah
guru yang berjaya menjadikan pelajarnya bermotivasi dalam pelajaran.
Oleh itu untuk keberkesanan dalam pengajaran, guru harus berusaha
memahami makna motivasi belajar itu sendiri dan mengembangkan serta
menggerakkan motivasi pemberlajaran pelajar itu ke tahap yang
maksimum.

Guru dapat memahami motivasi belajar jika sewaktu mengajar dia dapat
melaksanakan langkah-langkah seperti berikut:


1. Mengenal pasti tingkat kecerdasan para pelajar.

2. Melaksanakan teknik memotivasi pelajar.

3. Merumuskan tujuan belajar dan mengaitkan tujuan itu dengan
keperluan dan minat pelajar.

4. Menerapkan kemahiran bertanya kepada pelajar.

5. Melaksanakan aktiviti pengajaran dengan urutan yang sistematik.

6. Melaksanakan penilaian diagnostik.

7. Melaksanakan komunikasi interpersonal.

Memotivasi pelajar merupakan salah satu langkah awal yang harus
dilakukan oleh seorang guru dalam pengajaran dan pembelajaran. Jika
guru telah berjaya membangun motivasi pelajar semasa pengajaran dan
pembelajaran bermakna guru itu telah berjaya mengajar. Namun
pekerjaan ini tidaklah mudah. Memotivasi pelajar tidak hanya
menggerakkan pelajar agar aktif dalam pelajaran, tetapi juga
mengarahkan dan menjadikan pelajar terdorong untuk belajar secara
terus menerus, walaupun dia berada di luar kelas ataupun setelah
meninggalkan sekolah.

Untuk meyakinkan diri kita bahawa memotivasi pelajar dalam belajar
merupakan tugas guru dan berkewajiban pula melaksanakannya, maka
pendekatan Behavioristik perlu kita jadikan pedoman dalam mengajar.
Para pakar Behavioristik mengemukakan bahawa motivasi ditentukan
oleh persekitaran. Guru merupakan persekitaran yang sangat
berperanan di dalam proses belajar. Oleh kerana itu, meningkatkan
motivasi pelajar dalam pelajaran merupakan tugas yang sangat penting
bagi guru.

Mengapa usaha memotivasi pelajar itu sangat penting bagi guru?
Sesetengah guru mungkin beranggapan bahawa tugas mereka sebagai guru
hanyalah mengajar sahaja, bukan menimbulkan minat pelajar terhadap
apa yang mereka ajarkan. Guru-guru seperti ini menghabiskan masa
mereka di dalam kelas semata-mata hanya untuk menuangkan bahan
pelajaran kepada pelajar. Mereka tidak peduli sama ada isi pelajaran
yang mereka ajarkan atau yang mereka terangkan itu dapat diterima
oleh pelajar untuk dijadikan sebagai miliknya atau tidak. Mereka
tidak memperhatikan apakah bahan yang mereka ajarkan itu bermanfaat
dan mempengaruhi tingkah laku atau perkembangan pelajar ke arah yang
positif. Guru-guru seperti ini tidak menyedari bahawa pelajar-
pelajar yang tidak berminat tidak akan dapat menerima pelajaran
dengan baik.

Pelajar yang tidak berminat terhadap apa yang diajarkan oleh guru
tetapi dia diharuskan mempelajarinya, dapat menimbulkan suatu
perasaan benci terhadap mata pelajaran itu, bahkan untuk selanjutnya
pelajar itu tidak akan ingin pernah mempelajarinya. Di dalam kelas
yang kita ajar mungkin kita akan mendengar pelajar berkata, "Saya
tidak mampu belajar Bahasa Inggeris" atau "Saya tidak dapat belajar
matematik." Jika kita teliti permasalahannya, bukan kerana kedua-dua
mata pelajaran tersebut sukar atau tidak menyenangkan, tetapi kerana
guru kedua-dua mata pelajaran itu tidak menggunakan strategi yang
berkesan, sehingga pelajar tidak tertarik untuk mempelajarinya.
Pelajar tidak bermotivasi, malahan merasakan mata pelajaran tersebut
menjadi menyiksa mereka.

Guru seharusnya menggunakan masa yang banyak sewaktu mengajar untuk
memotivasi pelajar-pelajarnya. Pelajar yang termotivasi dengan baik
dalam pelajaran akan melakukan lebih banyak aktiviti dan lebih cepat
belajar jika dibandingkan dengan pelajar yang kurang atau tidak
termotivasi semasa belajar. Ini memandangkan, jika guru dapat
membangunkan motivasi pelajar terhadap pelajaran yang diajar maka
diharapkan pelajar akan sentiasa meminati mata pelajaran tersebut.

Sesungguhnya usaha memotivasi pelajar dalam pendidikan adalah
merupakan suatu proses (1) membimbing pelajar untuk memasuki
pelbagai pengalaman yakni proses belajar sedang berlangsung; (2)
proses menimbulkan semangat dan keaktifan pada diri pelajar sehingga
dia benar-benar bersedia untuk belajar; dan (3) proses yang
menyebabkan perhatian pelajar tertumpu kepada satu arah atau tujuan
pada satu masa, iaitu tujuan belajar.

Situasi kelas yang pelajar-pelajarnya termotivasi dapat mempengaruhi
sikap belajar dan tingkah laku pelajar. Pelajar yang termotivasi
untuk belajar akan sangat tertarik dengan berbagai tugas belajar
yang sedang mereka kerjakan; menunjukkan ketekunan yang tinggi;
variasi aktiviti belajar mereka pun akan lebih banyak. Di samping
keterlibatan mereka dalam belajar lebih besar, mereka juga kurang
menyukai tingkah laku yang negatif yang dapat menimbulkan masalah
disiplin.

Oleh kerana itu, dalam upaya menjaga dan meningkatkan disiplin kelas
maka motivasi pelajar mesti dipertimbangkan. Ini bermakna
meningkatkan motivasi pelajar dalam belajar merupakan suatu cara
yang baik dalam menghindari tingkah laku pelajar yang negatif,
kerana mereka terlibat aktif dalam belajar dan terangsang untuk
belajar.

Sebenarnya tujuan jangka panjang dalam membangun dan mengembangkan
motivasi pelajar dalam belajar adalah terbentuknya motivasi kendiri.
Kita sebagai guru ingin agar pelajar selalu terdorong untuk
mengembangkan minatnya untuk belajar walau di mana pun dia berada.
Kita berharap agar pelajar-pelajar kita sentiasa ingin menimba
pelbagai ilmu pengetahuan walaupun mereka telah lepas dari bimbingan
kita. Tujuan pendidikan yang paling utama adalah untuk membangkitkan
dalam diri pelajar suatu motivasi yang kuat dan terus menerus untuk
belajar. Hal ini akan menjadi suatu kecenderungan dan kebiasaan
dalam melakukan proses belajar selanjutnya.

Yang menjadi persoalan sekarang ialah bagaimana caranya kita semasa
melakukan pelbagai usaha untuk membangun dan mengembangkan motivasi
pelajar semasa belajar? Para pakar Humanistik, misalnya Carl Rogers,
seorang pakar psikologi mengemukakan bahawa pada dasarnya di dalam
diri setiap manusia ada keinginan yang sangat kuat untuk belajar
yang bersifat semulajadi. Jadi, di dalam diri pelajar keinginan itu
sudah ada. Guru hanya mengembangkan atau memupuk keinginan itu
sehingga keinginan belajar itu dapat direalisasikan dalam bentuk
prestasi yang maksimum. Para pakar Behavioristk pula, misalnya B.F.
Skinner, seorang pakar pendidikan mengemukakan bahawa motivasi
pelajar sangat ditentukan oleh persekitarannya. Pelajar akan
termotivasi semasa belajar jika persekitaran belajar dapat
memberikan rangsangan sehingga pelajar tertarik untuk belajar. Guru
harus mengatur persekitaran atau suasana belajar secara bijaksana
sehingga pelajar termotivasi untuk belajar.

Dalam proses mengajar dan belajar, guru dituntut memiliki pelbagai
pengetahuan dan pemahaman yang bermanfaat untuk menimbulkan dan
meningkatkan motivasi pelajarnya semasa belajar, sehingga proses
belajar yang dibimbingnya berjaya secara optimal. Oleh kerana itu,
guru perlu memahami dan menghayati serta menerapkan pelbagai prinsip
dan teknik-teknik untuk membangkitkan dan meningkatkan motivasi
pelajar dalam pembelajaran. Memang banyak sekali prinsip dan teknik
yang berbeza-beza yang perlu diketahui oleh guru, kerana di dalam
usaha memotivasi pelajar sesungguhnya tidak hanya satu prinsip dan
teknik yang paling mujarab dipakai untuk semua pelajar, sepanjang
masa, dan untuk semua situasi. Berbeza mata pelajaran, berbeza
keperibadian pelajar, dan berbeza keperibadian guru menuntut
perbezaan prinsip dan teknik yang dipakai dalam memotivasi pelajar.
Oleh kerana itu, perbezaan mata pelajaran, keperibadian pelajar dan
keperibadian guru harus dipertimbangkan dalam memilih prinsip-
prinsip dan teknik-teknik yang akan dipakai dalam memotivasi pelajar.

Di dalam kelas yang pelajar-pelajarnya terdiri dari kelompok yang
memiliki kemampuan yang sama namun berbeza keperibadian dan minat,
variasi prinsip-prinsip dan teknik-teknik yang dipakai akan lebih
banyak. Di dalam kelas mungkin kita akan menemui beberapa orang
pelajar yang mampu memotivasi dirinya sendiri. Pelajar-pelajar
seperti ini tidak banyak memerlukan pertolongan dari guru untuk
merangsang minat mereka dalam belajar, kerana mereka mampu mendorong
diri mereka sendiri. Kebanyakan pelajar akan mempunyai motivasi
belajar jika kita menggunakan berbagai teknik untuk memotivasi
mereka, namun ada pula sejumlah pelajar yang baru akan termotivasi
jika kita melakukan usaha-usaha khusus bagi mereka. Oleh kerana itu
kita sebagai guru hendaklah fleksibel dalam memakai berbagai
pendekatan dalam merangsang minat pelajar dalam belajar, serta mampu
menerapkan berbagai prinsip dan teknik yang berbeza sesuai dengan
keperluan para pelajar.


by rasasayang79

Posted by Unknown Wednesday, November 04, 2009

3 comments

  1. cgfendi Says:
  2. Tips supaya pelajar menunggu kedatangan seorang guru.......

    1.... selalu bila ditengah-tengah pembelanjaran berikan kata-kata hikmah...
    2. bercerita....cerita yang mampu menarik minat pelajar ...jangan lama... 5 minit cukup 3.... pastikan nama pelajar dipanggil supaya mereka terasa dihargai....

    4. bila bersua di luar sekolah kita belanja mereka. jangan kedekut...

    5. Atau bila berjalan mendampingi mereka ...pegang tangan mereka sambil berbual bertanya keadaan keluarga ....

    6. yang penting bila dia sakit kita ziarah...

    7. Puji bila dia berjaya dan menaikkan semangat jika dia gagal.

    Guru yang bijak mampu membuat pelajar hormat dan mengingatinya walaupun telah lama berpisah...

     
  3. nurabadi Says:
  4. emmm guru sumber motivasi...

     
  5. Anonymous Says:
  6. Akm.

    Saya sudah buat motivasi secara holistic, Cuma banyak yang berpusatkan guru. Jika banyak berpusatkan pelajar, maka guru tidak akan mengajar sains atau matematik tetapi akan menjadi motivator setiap kali masuk ke kelas.

    Saya yang menaip ni pun sebab saya sendiri pun ada rasa kecewa dengan pelajar saya sendiri. Guru termakan diri. Tapi untuk menghilangkan tekanan, jadi saya pun taiplah seperti sekarang ni.

    Saya ini mengajar matematik dan sains:

    Saya sudah buat motivasi berlandaskan:

    1) Kaunseling
    2) Cerita orang-orang berjaya.
    3) Sejarah dunia dan sejarah Malaysia.
    4) Kecekalan dan kehebatan tamadun Barat dan tamadun Timur dan Islam.
    5) Kisah Nabi dan kecekalan nabi-nabi untuk berjaya.

    Dan sebagainya…..

    Jadi, jika saya boleh kembali pada kurun ke-14, saya pun nak pergi ke zaman itu. Ini zaman orang cintakan ilmu. Zaman orang menghormati guru.

    Daripada: cikgu mil.

    End.

     

Subscribe here

SELAMAT BERTAMU KE WEB KAMI..... AMANAH GURU.... SEGALA PANDANGAN DAN CADANGAN DEMI MEMANTAPKAN LAGI PROFESION PERGURUAN AMATLAH KAMI HARAPKAN DEMI MENCAPAI KEREDHAAN ILAHI......